Muhammad Shafee Abdullah
Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam Negara/Pendakwa Raya telah memfailkan notis tidak meneruskan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, di sini, yang melepas dan membebaskan peguam terkemuka, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah daripada semua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co dalam kenyataan media hari ini berkata, berdasarkan Peraturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, rayuan tersebut dianggap telah ditolak.

“Keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya itu bukan sahaja pelaksanaan budi bicara tanpa gentar atau pilih kasih malah ia memperkukuhkan sifat keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak boleh disangsikan.

“Di mana hakim yang arif mendapati dalam kedua-dua fakta dan undang-undang bahawa tiada unsur predikat kesalahan (iaitu aktiviti yang menyalahi undang-undang) untuk menimbulkan tuduhan pengubahan wang haram dan dengan itu membebaskan beliau daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Pada 28 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhammad Shafee daripada empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Sebelum itu, beliau didakwa terhadap tuduhan-tuduhan berkaitan penerimaan dana daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Firma guaman berkenaan menambah, Muhammad Shafee menyatakan penghargaan kepada peguam, keluarga, rakan-rakan dan orang ramai atas sokongan tidak berbelah bahagi sejak lima tahun lalu ketika beliau berusaha membuktikan dirinya tidak bersalah atas pertuduhan-pertuduhan tersebut.

“Sehubungan itu, beliau berharap untuk meneruskan khidmat profesionalnya dengan dedikasi dan integriti yang sentiasa menjadi panduannya dalam memberi perkhidmatan kepada anak-anak guamnya.

“Beliau juga tetap komited untuk menegakkan prinsip keadilan dan kesaksamaan untuk semua,” jelasnya. – MalaysiaGazette