Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR – Pihak diminta menyiasat individu bernama Victor Yong Jen Ong yang mahu hubungan diplomatik dijalinkan antara Malaysia dan Israel, yang mana ia bertentangan dengan dasar kerajaan.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pihaknya mengesan video itu tular semenjak pagi semalam melalui platform X, Facebook serta Youtube.

“Sebagai rakyat Malaysia prihatin menginginkan pihak berkuasa polis melakukan siasatan penuh bagaimana video ini boleh tular dan siapa individu dalam video itu.

“Malah kita semua tahu Malaysia tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan Malaysia sentiasa sokong perjuangan untuk pembebasan Palestin,” katanya dalam sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Dalam temubual dengan pempengaruh Israel, Hananya Naftali, Jen Ong yang mendakwa pernah tinggal di Johor Bahru berkata, masyarakat Arab selama ini telah merosakkan pemikiran rakyat Malaysia terhadap Israel dan keganasan Arab radikal sangat aktif di Malaysia.

Dalam video tersebut kelihatan bendera Israel dikibarkan di sebelah Jalur Gemilang dalam biliknya.

Mengulas lanjuit, Muhammad Rafique berkata, wujud keperluan untuk pihak berkuasa bertindak segera. – MalaysiaGazette