Warga asing yang menjadi suspek dalam kes penemuan mayat wanita yang disimen dalam kolah mandi di sebuah rumah direman.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Klang hari ini membenarkan reman ke atas seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita yang disimen dalam kolah mandi di bilik air sebuah rumah di Kampung Pendamar, Klang pada malam Ahad lalu.

Suspek telah dibawa oleh polis bu Pejabat Daerah Klang Selatan dalam keadaan tangan bergari ke kompleks Mahkamah Klang sekitar jam 9.47 pagi tadi.

Mahkamah Majistret yang mendengar permohonan perintah reman dari polis telah membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 11 Disember ini bagi siasatan lanjut polis.

Perintah reman bermula hari ini hingga Isnin minggu depan itu telah dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid.

Sebelum itu, suspek berusia 53 tahun itu berjaya ditahan semalam oleh polis IPD Klang Selatan selepas penemuan mayat wanita itu yang penuh bersimen.

Tempoh reman itu bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penemuan mayat wanita dewasa dalam keadaan disimen di dalam kolah mandi di bilik air sebuah rumah di Kampung Pendamar Klang pada malam Ahad kira kira jam 9.37 malam.

Hasil siasatan polis mendedahka, pengadu seorang pemilik rumah itu berstatus warga emas berusia 66 tahun dimaklumkan oleh warga asing yang membaiki bumbung rumah pada November 2023 tentang terdapat mayat di tanam dalam simen di bilik air rumah sewa tersebut.

Mayat wanita itu ditemukan selepas anggota bomba bertindak memecahkan simen kolah berkenaan.

Polis setakat ini menahan seorang lelaki dan sedang giat memburu dua lagi suspek lelaki warga asing bernama Ranjit Singh dan Mandeep Singh yang merupakan bekas penyewa di rumah itu antara 2019 hingga 2021 dan dipercayai terlibat dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.

Mayat wanita itu kini diletakkan di Jabatan Forensik Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat yang akan dijalankan pada Rabu ini.- MalaysiaGazette