Logo Tenaga Nasional Berhad

KUALA LUMPUR – Bekalan elektrik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Johor Bahru Sentral pulih sepenuhnya pada jam 9.13 pagi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, pihaknya melaksanakan kerja-kerja hentitugas bernotis bagi senggaraan berjadual pepasangan di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gerbang Perdana 33/11kV, Johor Bahru bermula pada jam 8 malam 5 Disember 2023 (Selasa) sehingga awal pagi 6 Disember 2023 (Rabu).

Jelasnya, ketika kerja-kerja dilaksanakan, bekalan elektrik sementara dibekalkan melalui 10 buah genset milik BSI supaya tiada sebarang gangguan bekalan dalam
tempoh tersebut.

“Siasatan mendapati berlaku kerosakan berulang pada sebuah daripada genset berkenaan yang digunakan untuk memberi bekalan sementara dan telah mengakibatkan gangguan bekalan di premis bangunan CIQ,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, melahirkan kekecewaan dan marah berikutan gangguan bekalan elektrik di CIQ Bangunan Sultan Iskandar selama 12 jam.

Beliau yang mahukan TNB dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelesaikan isu dengan segera berkata, gangguan bekalan elektrik itu amat menyusahkan para pengguna dan memalukan Johor.

Sementara itu, TNB berkata, ia mengambil maklum cadangan kerajaan negeri Johor supaya mempertimbangkan sumber alternatif bagi mengukuhkan lagi sistem bekalan elektrik ke kompleks CIQ seperti disuarakan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohammad Salleh.

Katanya, syarikat utiliti itu juga bekerjasama rapat dengan pengurusan BSI bagi memastikan keterjaminan dan kestabilan bekalan ke kompleks berkenaan dan persekitarannya. – MalaysiaGazette