Senator, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parliment, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,06 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya menubuhkan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara (UTARA) bagi memastikan pembangunan secara menyeluruh dapat dinikmati oleh rakyat di negeri itu.

Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, pembelaan masyarakat tidak seharusnya tertumpu di kawasan selatan negeri tersebut hanya melalui Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

“Malah kawasan utara negeri Kelantan dengan kepadatan penduduk serta menjadi kawasan yang pesat membangun dengan rancaknya aktiviti ekonomi memerlukan perhatian yang sebenarnya lebih penting atau paling tidak sama penting dengan kawasan yang melibatkan kawasan selatan di bawah KESEDAR.

“Oleh yang demikian, seharusnya kerajaan pusat melalui Kementerian Desa dan Wilayah meneliti dan mengkaji seterusnya meluluskan pembentukan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara atau UTARA demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemajuan berterusan di kawasan negeri Kelantan utara,” katanya.

Cadangan itu dilontarkan Mohamad Fatmi ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan di Dewan Negara hari ini.

Menurut beliau UTARA bakal bertanggungjawab di daerah Machang, Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kubang Kerian, Kota Bahru, Pengkalan Chepa dan Tumpat.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2022 kawasan tersebut mempunyai 1.3 juta penduduk berbanding keseluruhan rakyat Kelantan yang berjumlah 1.9 juta orang.

Katanya, jumlah kepadatan penduduk di kawasan utara Kelantan amat mendesak untuk agensi terbabit menyusun keperluan rakyat setempat.

Mohamad Fatmi berkata, kewujudan UTARA akan menjadi pemudah cara bagi pihak Kerajaan Persekutuan untuk merancang pembangunan di negeri Kelantan.

Kewujudan UTARA katanya, akan memberikan manfaat besar kepada penduduk negeri Kelantan yang masih banyak memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan Kerajaan Persekutuan melalui agensi pusat.

“UTARA bakal dapat menyelaras pembangunan terancang yang lebih strategik untuk kemudahan rakyat. Pembinaan rumah terutama Projek Perumahan Rakyat yang begitu mendesak di setiap bandar utama.

“Perancangan yang bersepadu akan dimainkan oleh UTARA dalam memastikan keperluan jalan penghubung di antara bandar, jalan pintas yang mampu mengurangkan kesesakan.

“Keperluan pendidikan sama ada sekolah rendah dan menengah, klinik klinik kesihatan, juga zon perdagangan baru yang perlu di buka bagi menampung kepesatan aktiviti ekonomi yang semakin berkembang di Kota Bahru dan kawasan sekitarnya,” kata beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast