Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 06 DISEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dicabar hadir ke mesyuarat yang berlangsung pada malam ini untuk menyuarakan pendapatnya sendiri mengenai kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini. 

Cabaran berkenaan disuarakan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Isham sudah tiga kali tidak menghadiri Mesyuarat MKT.

“Saya harap malam ini Isham Jalil di mesyuarat MKT kalau ada pendapat lain beliau boleh suarakan.

“Setakat ini beliau tidak datang mesyuarat MKT sudah tiga kali. Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini, suarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita jalin kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi bentuk Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin oleh Wanita UMNO dan 99 Speedmart Sdn Bhd di Bangunan Putra, hari ini.

Isham baru-baru ini mendakwa kekalahan UMNO- BN pada PRK Kemaman berpunca daripada segelintir pemimpin parti itu yang bertindak menjadi ‘penjilat’ DAP.

Katanya, parti berkenaan seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi ‘barua DAP’.-MalaysiaGazette