Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal. Gambar : Pahang Media

KUANTAN – Majlis Sukan Pahang (MSP) akan memberi tumpuan kepada sukan Olahraga dan Akuatik dalam persaingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, kedua-dua sukan tersebut menawarkan jumlah pingat tertinggi dalam temasya sukan tersebut.

Beliau memberitahu, jurulatih sambilan dalam kalangan guru-guru di Lipis, Raub, Bentong dan Jerantut telah dikenal pasti bagi membolehkan lebih banyak bakat atlet olahraga dicungkil.

“Tahun ini MSP telah melancarkan Program Pencarian Bakat Elephant Warrior Talent dan Penganjuran Karnival Elephant Warrior Hunt untuk mencungkil bakat baru.

“Melalui program ini, seramai 80 orang atlet Olahraga dan 107 orang atlet Akuatik-Renang telah terpilih menjalani latihan secara intensif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan Pahang 2024, Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Selain itu, Fadzli berkata, program pembangunan akar umbi juga perlu dipertingkat bagi memastikan atlet Pahang terus kekal dalam persaingan SUKMA.

Justeru, katanya, kemudahan sukan sedia ada khususnya di Sekolah Sukan Negeri Pahang, Seberang Temerloh serta program penyertaan dan persediaan pasukan Majlis Sukan Sekolah (MSSP) perlu diberi perhatian kerana ia merupakan medium penyediaan bakat-bakat atlet pelapis negeri.

“Saya juga menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk meneruskan insentif Atlet Makmur atau sebelum ini dikenali dengan Pahang Pride Athlete dengan peruntukan RM300,000,” katanya.

Jelas Fadzli, insentif tersebut bakal dinikmati seramai 1,000 orang atlet berumur 15 hingga 35 tahun dari pelbagai jenis sukan yang telah mengharumkan nama Pahang di pelbagai peringkat. – MalaysiaGazette