PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki berstatus autisme yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui di sebatang sungai, berhampiran lokasi hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, malam ini.
Mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ditemui penduduk apartmen berkenaan kira-kira jam 10 malam tadi pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
Penemuan tersebut hasil kerjasama 40 anggota polis dari Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta 60 penduduk Apartment Idaman yang melakukan misi pencarian kanak-kanak tersebut, bermula jam 9 malam tadi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid yang terlibat dalam misi pencarian itu mengesahkan penemuan kanak-kanak tersebut.
“Saya tidak dapat mengulas lanjut buat masa ini kerana baru menemui mayat mangsa dan sedang lakukan siasatan lanjut di kawasan mayat ditemui ini.
“Fakta lanjut mengenai penemuan kanak-kanak itu akan dimaklumkan kelak nanti,” katanya.
Berikutan itu, kawasan belukar di mana mayat kanak-kanak itu ditemui kini ditutup untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette