Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatat sejarah sebagai individu pertama di negara ini mendaftar untuk MyDigital ID pada 1 Disember lalu. - Gambar: Facebook rasmi Perdana Menteri

KETIKA ini banyak tohmahan liar yang berlegar dalam media sosial mengenai inisiatif MyDigital ID yang dibangunkan oleh MIMOS Bhd sejak 2016.

Kononnya sistem pengenalan diri dalam talian yang sah dan selamat itu didalangi agenda Zionis atau Illuminati yang bertujuan mengawal kebebasan rakyat.

Malah, ada juga pihak termasuk penjawat awam yang percaya pelaksanaan MyDigital ID akan menyebabkan cip diimplan dalam tubuh manusi sehingga menyebabkan mereka enggan mendaftar untuk MyDigital ID.

Sikap sebahagian kecil rakyat Malaysia yang sering memandang serong terhadap sesuatu yang baharu itu tidak menghairankan kerana mereka pernah melakukan perkara yang sama bagi membantah vaksinasi Covid-19 dan pendaftaran MySejahtera dahulu.

Kesemua dakwaan tidak berasas itu dinafikan oleh Ketua Kluster Sektor Teroka Teknologi MIMOS, Dr Saat Shukri Embong dalam sesi taklimat bersama media di Kementerian Komunikasi dan Digital, Putrajaya, hari ini.

Saat Shukri Embong
Saat Shukri Embong

Sebenarnya, MyDigital ID akan lebih memudahkan rakyat ketika melakukan urusan secara dalam talian dengan agensi-agensi kerajaan seperti permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), penyasaran subsidi dan Skim Perubatan Madani.

Melalui sistem tersebut, pengguna hanya perlu log masuk menggunakan MyDigital ID dan ia bermakna mereka tidak perlu lagi menggunakan ID pengguna dan kata laluan yang berasingan untuk setiap agensi.

Orang ramai juga tidak perlu bimbang mengenai isu kebocoran data peribadi kerana seperti yang dijelaskan oleh Saat Shukri, MyDigital ID tidak menyimpan sebarang maklumat diri mereka.

“Data berkenaan butiran peribadi disimpan agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Imigresen dan ia dilindungi undang-undang sedia ada jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa risiko kebocoran data peribadi termasuk ID pengguna dan kata laluan adalah minimum malah penggodam mungkin perlu mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk berbuat demikian walaupun dengan menggunakan komputer tercanggih.

“Jika berlaku pun, ia berkemungkinan besar disebabkan oleh kecuaian pengguna sendiri yang memberi ID dan kata laluan kepada individu lain termasuk penggodam,” jelasnya.

Sekiranya peranti yang mengandungi MyDigital ID hilang atau dicuri, pengguna hanya perlu membuat satu panggilan sahaja untuk membatalkan pendaftaran sebelum mendaftar semula untuk mendapatkan MyDigital ID yang baharu.

Berhubung pelaksanaan, Saat Shukri memberitahu, pendaftaran MyDigital ID dilakukan dalam beberapa fasa, bermula dengan anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam sehingga 31 Disember ini.

Fasa seterusnya melibatkan para penerima bantuan kerajaan mulai 1 Januari ini diikuti orang awam mulai Julai tahun depan.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai peranti, kita akan bekerjasama dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) untuk membantu pendaftaran mereka,” ujarnya.

Penjelasan yang diberikan oleh Saat Shukri itu telah menjawab segala kemusykilan yang timbul dalam kalangan rakyat berhubung pelaksanaan sistem MyDigital ID.

Mereka tidak seharusnya mempercayai dakyah palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mempunyai agenda tersendiri untuk menggagalkan usaha Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempermudahkan urusan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast