KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay tidak goyah dengan sebarang tohmahan daripada pihak luar susulan ketegasannya membanteras amalan rasuah.
Ini kerana, beliau tahu ada yang tidak senang dengan ketegasannya hingga ada yang sanggup mendakwa yang bukan-bukan mengaitkan pula dirinya dengan amalan tidak sihat itu.
Justeru, beliau tidak kisah sekiranya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memuaskan hati pihak-pihak terbabit.
“Setakat ini banyak tohmahan dan dakwaan yang dibuat oleh pihak luar…tuduhan yang dibuat terhadap saya memang banyaklah, macam-macam edisi.
“Tapi bagi saya kalau nak siasat silakan siasat isteri saya, anak saya, bapa saya, emak saya dan adik beradik saya…berapa harta yang saya ada, saya tak ada masalah boleh buat tohmahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Forum Integriti ‘Bukan Lupa Tapi Tak Ingat’ sempena Sambutan Hari Integriti 2023 di Ibu Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.
Turut menjadi panelis pendakwah bebas, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin.
Mengulas lanjut, Ayob mahu fokus dalam memerangi rasuah sejak mula ditugaskan sebagai Ketua Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Beliau mula mendapat kekuatan untuk tegas memerangi rasuah selepas mendapat sokongan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Menteri Besar Johor dan juga semua ahli-ahli Parlimen kerajaan mahu pun pembangkang.
Dalam pada itu, Ayob mengingatkan anggota mahu pun pegawai polis untuk tidak sesekali mendekatkan diri dengan rasuah kerana amalan itu hanya akan merosakkan agensi dan jabatan sama ada di peringkat atasan mahu pun bawahan.
Ujarnya, sebagai penjawat awam beruniform, anggota dan pegawai polis semua peringkat perlu ingat mereka ada membawa bersama kalimah Allah dan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul pada lambang pasukan.
Disebabkan itu, katanya, mereka perlu sedar amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dijaga termasuk menghindarkan diri daripada mendekati rasuah.
“Bayangkan, kalau dari peringkat atas tak betul sampailah ke peringkat bawahan apa akan jadi dengan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette