KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor baharu berkuatkuasa serta-merta.
Selain Onn Hafiz, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat pula dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan itu dibuat selepas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Ahmad Said memberi laluan sedia melepaskan jawatan disandang mereka sebelum ini.
“Sekalung tahniah diucapkan kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang berkuatkuasa serta-merta.
“Tahniah juga diucapkan kepada Datuk Rozi Mamat yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang berkuatkuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pemimpin Johor dan Terengganu itu kerana sanggup berkorban dan memberi laluan kepada muka baharu menerajui kepimpinan UMNO negeri terbabit.
“Mewakili keluarga besar UMNO juga, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan buat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Ahmad Said atas segala pengorbanan, usaha dan komitmen yang tinggi dalam memimpin UMNO Johor dan UMNO Terengganu selama ini.
“Moga dapat meneruskan usaha memperkukuhkan dan memperkasakan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette