Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan semakan besar-besaran terhadap dasar sedia ada termasuk merombak ekosistem politeknik di bawah KPT.

Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 4 Disember 2023.

Majlis tersebut merupakan satu hari yang bersejarah kepada segmen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah sektor pendidikan tinggi negara khususnya politeknik.

Mohamed Khaled semasa ucapannya telah menggariskan antara inti pati utama transformasi ini.

TVET untuk semua

Pertama, memastikan akses kepada pengajian politeknik diperkemas dan diperluas. KPT mahu membangunkan satu ekosistem politeknik yang bukan sahaja menyediakan pendekatan pengajian yang pelbagai tetapi bersifat mudah dan berupaya menawarkan keterujaan dan tarikan baharu yang segar, khususnya kepada mereka yang sudah bekerja atau terlepas peluang mengikuti pengajian pada peringkat muda.

Dalam hal ini, KPT menggariskan tiga strategi dalam memperkemas dan memperluas akses kepada pengajian politeknik. Pertama, Open Distance Learning (ODL) terutamanya oleh 5 Politeknik METrO yang membolehkan mereka yang sudah bekerja mengikuti pengajian tanpa perlu berhenti kerja.

Kedua, menawarkan pelbagai program micro-credentials bersifat jangka pendek bagi membolehkan sesiapa sahaja di luar sana menambah kelayakan diri. Ketiga, penubuhan Pusat Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) “A” di Politeknik Ungku Omar bagi menyelaras proses menukar pengalaman kerja atau kelayakan semasa anak muda yang tidak mempunyai pendidikan untuk mencukupkan syarat menyertai pengajian tinggi khususnya di politeknik.

Politeknik akan turut merangka dan meluaskan penawaran pengajian Work-based Learning (WBL) atau Industry-based Learning dalam semua sektor ekonomi negara seperti pembinaan, hospitaliti, logistik, perkhidmatan, perindustrian, perkilangan dan sebagainya.

Melaluinya, seseorang pekerja boleh memperoleh kemahiran tanpa perlu memasuki politeknik mahu pun universiti.

Mempelbagai laluan kemasukan khas

Kedua, KPT menyediakan laluan berfokus kepada, antara lain, kumpulan sasar, iaitu 7,600 tempat untuk lepasan kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), 1,000 tempat setahun untuk Pusat Asasi TVET, 500 tempat setahun untuk lepasan sekolah tahfiz secara berperingkat, 210 tempat setahun untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan 100 tempat setahun untuk Orang Asli.

Dalam masa yang sama, KPT menawarkan lebih banyak tempat kepada kumpulan sasar dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pihak politeknik bersama-sama dengan universiti di bawah Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sedang giat menyusun semula struktur dan kandungan kurikulum yang digunakan agar tempoh pengajian dalam sesuatu bidang menjadi lebih singkat.

Meningkat dan mempercepat adaptasi teknologi

Ketiga, KPT memandang serius keperluan pendigitalan dan adaptasi teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), Block Chain, Augmented Reality (AR), Cloud Computing dan Data Analytics.

Kira-kira 30% daripada program pengajian politeknik sudah beradaptasi dan memanfaatkan pendigitalan.

Selain pembangunan infrastruktur, salah satu langkah susulan transformasi ini, pihak politeknik akan menggunakan peruntukan sebanyak RM2 juta khusus untuk tujuan kajian serta penyelidikan TVET.

Ini termasuklah dalam hal yang akan membantu melancar serta mengoptimumkan proses peralihan dan adaptasi teknologi.

Memantapkan kerjasama industri

Keempat, menyedari bahawa kerjasama sektor pendidikan tinggi dengan pihak industri adalah kritikal, KPT akan menggunakan pendekatan yang pelbagai dan inovatif.

Ini termasuklah membenarkan politeknik dipacu oleh sektor swasta, pihak industri atau mana-mana entiti yang mempunyai kelebihan dalam aspek teknologi dan ekosistem yang berpaksikan kemahiran.

KPT turut menggariskan beberapa strategi yang akan dijayakan dalam memastikan kerjasama politeknik dengan pihak industri lebih inovatif, bermakna dan berkesan.

Pertama, memanfaatkan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri atau Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) sebagai platform khusus yang akan merancakkan hubungan serta kerjasama Kerajaan, industri dengan institusi TVET. Kedua, memastikan mandat TVET Collaboration Hub (TCH) yang telah dipersetujui dalam Majlis TVET Negara (MTVET) digerakkan dengan cara yang berimpak.

Ketiga, melonjakkan 12 buah Centre of Technology (COT) sedia ada menjadi pelopor dalam penghasilan teknolosi serta inovasi. Keempat, mempelbagai pelaksanaan pendekatan Industry on Campus (IOC) dengan lebih meluas terutamanya dengan mengambil pandangan semua pihak termasuk cadangan dari Ahli-Ahli Majlis Penasihat Industri-Politeknik (PIAC).

Kelima, menubuhkan Reskilling and Upskilling Centre (RUC) di pelbagai politeknik sebagai satu tawaran pakej atau program latihan yang dilaksanakan oleh politeknik kepada pihak industri menggunakan pendekatan Time Sector Privatisation (TSP) iaitu suatu perkongsian pintar dan perkongsian sumber bersama pihak industri.

Membangunkan sebuah Politeknik APEX

Kelima, menaik taraf Politeknik Ungu Omar (PUO) sebagai politeknik APEX sebagai satu penanda aras yang cemerlang untuk diikuti. Adalah penting untuk ekosistem TVET diperkasa dengan kehadiran satu institut teknologi yang unggul dan berdaya saing.

Dalam hal ini, terdapat dua fokus dan sasaran utama di bawah penaiktarafan PUO.

Pertama, institusi ini akan menawarkan pelbagai program yang lebih advanced dan kompetitif. Kedua, komposisi peringkat pengajian institut teknologi ini akan menyaksikan peningkatan tawaran sehingga 50 peratus program ijazah.

Transformasi politeknik

Rombakan besar-besaran ini membolehkan sesiapa sahaja tanpa mengira latar usia dan peringkat pengajian berpeluang menyertai program pengajian di politeknik.

Sesiapa sahaja yang berminat menyertai pengajian TVET di politeknik bukan sahaja dapat melakukannya menggunakan pelbagai saluran, tetapi dapat melihat dengan jelas, hala tuju serta perjalanan pengajian mereka ke peringkat tertinggi.

Semoga kesungguhan dan komitmen KPT dalam memastikan matlamat membentuk dan melahirkan bakat terbaik negara ini dapat dicapai. – MalaysiaGazette

Oleh Muhammad Alif Zuhaili Shafarin
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast