SHAH ALAM – Balu pengurus bank Syed Muhammad Danial Syed Syakir, mangsa insiden amuk di Lebuhraya Utara-Selatan arah Kuala Lumpur-Seremban, menangis di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika menceritakan nasib anaknya dan trauma yang dialami selepas kejadian tragis itu.
Qistina Ayu Rozhan, 32, berkata, anak perempuannya yang kini berumur empat tahun menjadi yatim sejak berusia tiga bulan dan hingga ke hari ini masih tertanya-tanya di mana ‘daddy.’
“Anak hanya tahu daddy di syurga. Namun itu tidak menghalangnya daripada menanyakan di mana ayahnya dan kenapa tidak bersama kami di saat kawan-kawannya bersama ayah masing-masing,” kata pegawai bank itu yang kelihatan sebak ketika membacakan kenyataan impak mangsa sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.
Hakim Julia Ibrahim menjatuhi hukuman penjara 16 tahun terhadap bekas pekerja teknologi maklumat Yew Wei Liang kerana menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial, 29, di Kilometer 293.6 di Lebuhraya Utara-Selatan (Kuala Lumpur-Seremban) di sini antara 1 tengah hari dan 2 petang 10 Ogos 2019.
Qistina Ayu berkata, kemarahan, kekecewaan, kesedihan dan kemurungan yang tidak tertanggung menjadi temannya selepas kejadian itu.
Wanita itu berkata, disebabkan salah faham dan gagal mengawal amarah, beliau kehilangan suami malah anaknya tidak sempat merasai kasih sayang seorang bapa.
“Saya terpaksa berdepan trauma, memandu berulang-alik ke tempat kerja selama bertahun-tahun, di lokasi sama suami saya terbunuh tanpa belas kasihan.
“Kesakitan yang dirasai tidak tertanggung apatah lagi bergelar ibu tunggal memandangkan saya perlu menjaga anak yang ketika kejadian baru mencecah usia tiga bulan,” katanya.
Ketika ditemui media di luar mahkamah, Qistina Ayu berharap tragedi yang menimpa arwah suaminya tidak berulang.
“Syukur Alhamdulillah, akhirnya selepas empat setengah tahun pemergian suami saya, Syed Muhammad Danial (ada keputusan hukuman).
“Saya berharap perkara ini tidak berlaku kepada orang lain dan menjadi pengajaran terutama kepada samseng jalanan,” katanya. – BERNAMA