Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya pengguna media sosial diminta tidak mengeluarkan sebarang komen yang berkait dengan pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan beberapa komen atau posting dalam laman sosial mengenai kematian kanak-kanak itu.

“Komen-komen seperti ini bukan sahaja mencetuskan kegusaran kepada orang ramai tetapi juga akan mengganggu emosi keluarga mangsa yang masih meratapi kesedihan kerana kehilangan anak yang disayangi mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan mengiring di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya pada malam Rabu lalu.

Polis mendapati kematian kanak-kanak enam tahun itu dibunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Sementara itu, Hussein meminta kerjasama orang ramai agar memberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan siasatan, melengkapkan kertas siasatan dan mengesan suspek. – MalaysiaGazette