KUALA LUMPUR – Inisiatif Ekonomi Madani nukilan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi markah A dalam kajian yang dibuat sekumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sejumlah 4,606 responden dipilih menggunakan teknik persampelan rawak berstrata daripada sejumlah 21,473,409 pengundi berdaftar yang diwartakan pada 3 Oktober 2023 merangkumi semua kaum, jantina dan peringkat umur di kesemua 222 Parlimen di 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan.
“Responden telah ditanya mengenai tahap penerimaan mereka ke atas 30 Inisiatif Ekonomi Madani yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
“Hasil maklum balas yang diberikan oleh responden menunjukkan Inisiatif Ekonomi Madani ini mendapat markah A, iaitu sebanyak 82 peratus (2457/3000).,” kata kajian terbabit dalam satu kenyataan.
Kajian dibuat kepada responden secara panggilan telefon secara atas talian menggunakan applikasi WhatsApp dan Telegram serta melalui panggilan telefon atau ditemubual secara tatap muka.
Menurut kenyataan itu, kajian dibuat selama 34 hari bermula 1 November hingga 4 Disember lalu.
Tujuan kaji selidik dijalankan bagi membolehkan satu rumusan objektif dibuat mengenai tahap penerimaan rakyat ke atas berbagai-bagai Inisiatif Ekonomi Madani yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan sejak beliau mula menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022 dan Menteri Kewangan pada 3 Disember 2022.
Menurut kajian itu lagi, 11 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah A+ (90-100), 13 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah A (80-89), 2 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah A- (75-79), 1 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah C- (45-49), 1 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah D+ (40-44), 1 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah D (35-39) dan 1 Inisiatif Ekonomi Madani mendapat markah F (0-34).
“Dapat dirumuskan daripada dapatan kaji selidik ini bahawa aspek Inisiatif Ekonomi Madani yang paling mendapat sokongan ialah usaha Kerajaan Perpaduan membantu golongan yang memerlukan, khususnya golongan miskin,” kata kenyataan yang sama.
Ini terbukti dalam penerimaan tinggi responden ke atas Inisiatif Ekonomi Madani antaranya Inisiatif mendorong BERNAS menyumbang RM60 juta kepada para pesawah miskin yang mendapat 96 peratus sokongan berbanding dua peratus bantahan, Inisiatif menoktahkan Miskin Tegar di mana kira-kira 130, 000 isi rumah termiskin akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan yang mendapat 93 peratus sokongan berbanding tiga peratus bantahan dan Inisiatif memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) termiskin yang mendapat 93 peratus sokongan berbanding 4 peratus bantahan.
Antara lain adalah inisiatif menyegerakan Projek Prasarana Rakyat dengan sasaran untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan bagi 400 klinik daif dan 380 sekolah daif yang mendapat 92 peratus sokongan berbanding tiga peratus bantahan, Inisiatif memperkenalkan Konsep Payung Rahmah termasuk Inisiatif Menu Rahmah serta Jualan Rahmah yang mendapat 92 peratus sokongan berbanding empat peratus bantahan dan Inisiatif menyalurkan sumbangan tunai kepada seramai 8.7 juta penerima dari golongan B40 melibatkan pembayaran berjumlah RM1.67 bilion di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mendapat 92 peratus sokongan berbanding 5 peratus bantahan. – MalaysiaGazette