Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sistem pangkalan maklumat dan laman sesawang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diserang penggodam sejak Sabtu lalu.

Menurut agensi tersebut, pada peringkat awal modus operandi serangan siber dikenal pasti bertujuan untuk melumpuhkan segenap infra Perkeso yang digunakan bagi pengoperasian seharian.

Katanya, Perkeso telah mengambil langkah segera dengan mengaktifkan pelan pengurusan krisis pada hari sama serta unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) digerakkan bagi tujuan pemulihan sistem.

“Bagaimanapun, kejayaan unit ICT Perkeso mendapatkan semula kawalan sistem akhirnya menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan pembunuhan watak (character assassination) terhadap imej.

“Perkeso memberi jaminan, usaha terancang didalangi penggodam ini tidak akan merencatkan khidmat kita kepada pencarum, majikan dan orang ramai.

“Justeru, segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terbabit akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan,” kata dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas kebocoran maklumat yang dipaparkan di laman sesawang gelap atau ‘dark web’, hasil penelitian awal Perkeso mendapati kesahihan data yang dicuri oleh penggodam itu amat diragui, tidak lengkap dan luput.

Katanya, hal itu kerana satu kluster data yang dicuri tidak pernah dicerap oleh Perkeso sejak agensi tersebut ditubuhkan pada Oktober 1971.

“Serangan siber terhadap Perkeso ini bukan kali pertama, sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku, dengan kali terakhir pada September lalu dan berjaya dibendung.

“Tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini adalah serangan yang menyasarkan kepentingan negara, justeru segala hasil forensik akan dikongsikan kepada pihak berkuasa demi mengelak episod sama berulang terhadap agensi lain,” katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyembut sama ada serangan tersebut ada kaitan dengan tindakan Malaysia dan rakyatnya mengecam serangan Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengeluarkan notis langkah berjaga-jaga terhadap ancaman serangan siber terhadap  institusi kewangan di negara ini.

Notis Platform Risikan Ancaman Siber Sektor Kewangan (FinTip) adalah pemberitahuan untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang dikeluarkan secara rutin kepada institusi kewangan dan rakan kerjasama mereka yang berkaitan.

BNM berkata, FinTIP sentiasa memantau landskap siber dan akan memaklumkan tentang kemungkinan ancaman baharu termasuk peningkatan aktiviti penggodaman.

Difahamkan, notis langkah berjaga-jaga itu dikeluarkan susulan kemungkinan tindak balas kumpulan penggodam pro-Israel terhadap sistem strategik negara selepas kumpulan penggodam pro-Palestin di negara ini dikenali ‘DragonForce’ menyerang rangkaian strategik negara regim Zionis sejak tercetus konflik di dua negara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast