Antara suspek yang direman di Mahkamah Majistret Putrajaya dalam sindiket jual pingat kebesaran RM2 juta.- Gammbar ihsan SPRM.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman enam individu termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu Tan Sri dengan bayaran kira-kira RM2 juta.

Sumber memberitahu,suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50-an ditahan pada 30 November lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Manakala dua lagi suspek iaitu wanita berusia 40-an serta lelaki berusia 30-an ditahan secara berasingan pada 4 dan 6 Disember lalu.

Sumber berkata, suspek terbaharu yang ditahan kira-kira pukul 3 petang di Melaka kelmarin merupakan presiden sebuah Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang disyaki menjadi dalang utama menetapkan harga bagi individu yang berminat mendapatkan pingat kebesaran.

Suspek kemudian mengarahkan ahli sindiketnya iaitu suspek kedua, lelaki berusia 50-an yang menyamar sebagai Tengku bagi mendapatkan bayaran bagi menipu kira-kira enam individu lain yang ingin mendapatkan pingat kebesaran tanpa melalui prosedur biasa.

Jelas sumber, isteri suspek kedua pula dipercayai terlibat bersama dua lagi suspek yang menyamar sebagai ahli perniagaan sebuah syarikat berasaskan pertanian bagi menguruskan transaksi penerimaan wang tersebut.

“Sindiket ini dipercayai mula menjalankan kegiatan ini sejak 2020 dan telah memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian beratus ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan bagi meyakinkan mangsa bahawa gelaran dan pingat yang di atur melalui pintu belakang, ini adalah benar-benar tulen.

“Manakala salah seorang mangsa lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai telah membayar kira-kira RM1.2 juta untuk mendapatkan gelaran Tan Sri menerusi beberapa transaksi bank kepada sindiket ini dan SPRM sedang berusaha mengesan lima lagi invididu yang turut menjadi mangsa sindiket,” kata sumber itu lagi.

Tambah sumber lagi, bayaran yang dikenakan berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000; Datuk Seri (RM250,000) manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.

Susulan penahanan enam suspek tersebut, tiga suspek daripadanya telah disambung reman selama tiga hari lagi bermula 6 hingga 8 Disember ini manakala seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Suspek wanita yang ditahan pada 4 Disember lalu telah ditahan reman selama empat hari bermula 5 hingga 8 Disember 2023 manakala suspek utama ditahan reman selama lima hari bermula semalam sehingga 11 Disember ini selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi hari ini telah mengesahkan tangkapan kesemua suspek tersebut.

Kata beliau, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009

“SPRM kini sedang giat mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket penjualan gelaran pingat kebesaran tersebut,” tegasnya. – MalaysiaGazette