Anjing pengesan yang dibawa masuk untuk membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak istimewa.

PETALING JAYA – Tiga ekor Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman telah dibawa masuk ke lokasi mayat kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui.

Pasukan yang membawa seekor anjing pengesan bernama Ruby jenis German Shepherd dilihat masuk ke kawasan kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak istimewa tersebut.

Tidak lama selepas itu seekor lagi bernama Jimmy dibawa masuk manakala seekor lagi, Mark direhatkan sementara.

Sebelum ini, khidmat Unit Anjing Pengesan telah digunakan bagi membantu mencari Zayn Rayyan di kawasan sekitar Apartment Idaman sebaik kanak-kanak istimewa berusia enam tahun itu dilaporkan hilang.

Bagaimanapun penggunaan anjing pengesan tersebut gagal membantu mencari Zayn Rayyan.

Turut berada di lokasi kejadian adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari bukti terbaharu pembunuhan Zayn Rayyan.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di di Blok R Apartmen Indah.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.- MalaysiaGazette