Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung yang hadir ketika membuat lawatan ke tapak pameran program Setahun Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia bersikap bertegas membantah sikap Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menolak gencatan senjata kemanusiaan segera antara rejim Israel dan Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan,  perbuatan terkutuk itu dikesali oleh Putrajaya kerana jelas tidak mempedulikan hak kemanusian dan terus menerus membenarkan Israel membuat pembunuhan secara zalim terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Satu dunia menempelak pembangkang tetapi masih saya kesal dan bantah sikap AS yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan.

“Sekarang kalau kita nak menilai AS dari segi demokrasi, hak asasi dan kemanusiaan, nampaknya kita tangguh dulu.

“Bagi mewakili rakyat Malaysia, kerajaan sekeras-kerasnya mengutuk dan protes terhadap keputusan AS menolak gencatan senjata,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika hadir membuat walkabout Karnival Setahun Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Bukit Jalil di sini hari ini.

Semalam, AS menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan PBB menolak resolusi majlis itu untuk menggesa gencatan senjata segera dalam perang antara rejim Israel dan Hamas di Gaza.

Washington mematahkan desakan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata segera yang diketuai oleh Ketua PBB, Antonio Guterres dan negara-negara Arab.

AS menawarkan pindaan besar kepada draf itu termasuk mengutuk serangan Hamas yang mana Israel mendakwa ia membunuh 1,200 orang dan 240 orang dijadikan tebusan.

Anwar menambah, semua pihak mesti menghentikan pembunuhan terhadap orang awam yang tidak bersalah, bayi serta wanita.

“Kita kena hentikan pembunuhan kanak-kanak tidak bersalah dan warga awam, kanak-kanak dan wanita. Tiada ada sebab untuk sesiapa pun untuk menafikan perkara ini dan sukarkan proses ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

AS guna kuasa veto bantah gencatan senjata di Gaza