Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman

KUANTAN – Seluruh masjid di Pahang kini diarahkan menghentikan sementara  doa Qunut Nazilah ketika solat fardhu kepada penduduk Palestin.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman berkata, ia selaras dengan sunnah Rasulullah SAW yang hanya mengamalkan doa tersebut selama sebulan.

“Pemakluman bagi penangguhan sementara pembacaan Qunut Nazilah telah dibuat kepada seluruh masjid dan surau di negeri Pahang melalui kadi daerah pada 7 Disember lalu.

”Perkara ini selaras dengan sunnah Rasulullah SAW di mana baginda melaksanakannya dalam tempoh sebulan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Abdul Rahman, meskipun penangguhan itu dibuat, bacaan Qunut Nazilah boleh dilakukan ketika membaca doa Qunut sewaktu solat Subuh.

Jelasnya, penangguhan sementara itu merujuk hadis Sahih Bukhari yang mengatakan Rasulullah SAW membaca Qunut Nazilah selama sebulan kemudian baginda berhenti membacanya.

Selepas itu,  Rasulullah SAW hanya membaca Qunut Nazilah pada waktu Subuh dan ia berterusan sehingga baginda wafat.

”Mazhab Shafie berpegang hadis berkaitan Qunut Subuh dan boleh masukkan Qunut Nazilah. Maknanya pada Qunut Subuh boleh baca Qunut Nazilah. Kita tidak tahu sehingga bila tamat peperangan antara Palestin dan Israel.

”Kita tidak mahu memberatkan makmum, jika peperangan besar berlaku, kita akan laksanakan semulanya,” jelasnya.

Terdahulu Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang pada 10 Oktober 2023 telah menyatakan kebersamaan kerajaan negeri ini dengan rakyat Palestin di atas pencerobohan yang dilakukan oleh pihak zionis terhadap Palestin.

Justeru sebagai tanda kebersamaan, seluruh masjid dan surau di negeri Pahang mengadakan solat hajat khas dan bacaan doa Qunut Nazilah pada setiap solat fardhu sejak tarikh itu. – MalaysiaGazette