Lokasi kejadian pasangan suami isteri mati ditikam anak kandung di Sungai Penchala, semalam.

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri ditemui maut dipercayai ditikam anak lelaki dalam pergaduhan di kediaman mereka di Kampung Sungai Penchala, di sini, malam ini.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka.

“Dalam pergaduhan itu, suspek yang dikatakan berang tiba-tiba mengambil senjata tajam sebelum menikam ibu bapanya mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di badan.

“Saksi yang menyedari kejadian itu segera menghubungi polis dan meminta bantuan kecemasan dengan kadar segera,” kata sumber ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, sebaik pasukan polis  tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia.

Katanya, polis berjaya menahan suspek yang disyaki penagih dadah di lokasi kejadian dan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid yang mengesahkan insiden itu berkata, mayat mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan anak kandung kepada kedua-dua mangsa dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati,” ujarnya. – MalaysiaGazette