Lakaran fotofit mangsa wanita warga India yang mati disimen dalam kolah mandi.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya melengkapkan siasatan kes penemuan mayat seorang wanita yang disimen dalam kolah mandi bilik air sebuah rumah sewa di Klang pada 3 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan berjaya membawa polis mengenal pasti identiti mangsa dan juga suspek yang didakwa melakukan pembunuhan tersebut.

Dalam kes berkenaan, suspek masih tiga orang iaitu seorang warga asing yang masih direman sehingga 13 Disember ini serta dua lagi suspek warga India iaitu Ranjit Singh dan Mandeep Singh yang kini diburu polis.

“Siasatan lanjut polis dalam kes ini mendapati mangsa adalah seorang wanita warganegara India berumur 30-an dan berketinggian 160 sentimeter.

“Sehubungan itu polis sedang mendapatkan bantuan Kedutaan India untuk memperoleh butiran lanjut mengenai mangsa wanita berkenaan serta untuk menghubungi keluarganya bagi tindakan lanjut.

“Justeru, siasatan turut mendedahkan mangsa merupakan teman wanita suspek yang menyewa rumah tersebut dan mereka tinggal bersama,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkembangan sama, polis telah menyediakan lakaran fotofit wajah mangsa wanita itu dengan maklumat saksi.

Siasatan polis juga mendapati suspek adalah seorang lelaki warga India yang juga teman lelaki kepada mangsa selain berjaya memperoleh segala butiran lanjut mengenai suspek.

“Kita akan mendapatkan waran tangkap serta PDRM akan meminta bantuan Suruhanjaya Tinggi India serta pihak berkuasa polis di sana untuk mengesan dan menangkap saspek ini.

“Berikutan perkembangan terbaharu ini, polis menganggap kes ini telah selesai sepenuhnya dan sedang dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut dan setakat ini seramai 10 saksi telah dipanggil dan diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Suspek simen mayat wanita dalam kolah mandi direman tujuh hari