PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan operasi mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) sebahagian penduduk Apartment Idaman yang menjadi lokasi pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 tahun.
Anggota daripada Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Selangor melakukan operasi tergempar itu bermula pukul 9.00 malam ini.
Pengambilan sampel DNA dilakukan di semua 18 blok penempatan di Apartment Idaman yang melibatkan lebih 50 anggota polis.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati penduduk memberikan kerjasama sepenuhnya dengan turun ke beberapa tempat pengumpulan sampel yang didirikan berhampiran blok penduduk.
Sebelum ini Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah menghantar barang kes yang diperoleh sewaktu bedah siasat terhadap mayat Zayn Rayyan termasuk sampel DNA dan cap jari yang dipercayai milik suspek.
Sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dilakukan ujian dan bagi memperoleh beberapa maklumat forensik.
Polis sebelum ini selesai memeriksa tiga blok perumahan di Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, bagi membantu siasatan kematian Zayn Rayyan.
Kes ini diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya sudah memeriksa tiga blok perumahan membabitkan 540 unit daripada 18 blok yang menempatkan 2,484 unit rumah.
Selepas dilaporkan hilang dari rumahnya di Damansara Damai tengah hari Selasa lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira 10 malam Rabu.
Bagaimanapun hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak autisme itu telah dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya diletakkan di anak sungai terbabit. – MalaysiaGazette