Penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai di sini tidak tenang selagi pembunuh kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin masih belum ditangkap.

PETALING JAYA – Penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai di sini tidak tenang selagi pembunuh kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin masih belum ditangkap.

Suri rumah Noorshamila Kamurddin, 31, berkata, suasana apartmen itu kini sunyi kerana kanak-kanak tidak lagi keluar bermain kerana takut.

“Dulu pukul 5 petang main sampai Maghrib kemudian mereka berhenti. Sambung balik main lepas pukul 8 hingga pukul 10 malam. Kalau Sabtu sampai pukul 11 malam. Main kat koridor.

“Taman permain pun ramai yang main waktu petang. Ada yang besar juga keluar bermain. Sekarang sudah sunyi. orang jadi takut nak keluar. Sebab kita tak tahu pelaku,” katanya.

Tambah beliau, anak-anaknya yang berusia 10 tahun dan enam tahun pun enggan pergi ke sekolah kerana takut dengan tragedi yang menimpa Zayn Rayyan.

Noorshamila mengakui dirinya pun mengalami demam dan menggigil selepas mengetahui kanak-kanak malang itu mati dibunuh.

“Sekarang ini semua jadi takut. Anak saya pun sudah dua hari tak pergi ke sekolah sebab takut. Saya sampai demam. Sampai tak tidur. Macam terbayang-bayang. Orang ketuk pintu pun boleh menggigil. Selagi pelaku tak kena tangkap selagi itu tak tenang,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Esma Hakim, 28, berkata, penduduk kini lebih berhati-hati dengan menemani anak masing-masing ketika berada di luar rumah.

Katanya, kejadian yang pertama kali berlaku di Apartment Idaman benar-benar memberikan kejutan kepada masyarakat setempat.

“Kawasan ini tak pernah ada kes. Budak-budak pun selalu main di kawasan sini. Budak-budak tak main kat kawasan Zayn Rayyan ditemui mati, mereka main di kawasan (sungai) atas lagi,” katanya yang turut menyertai pencarian kanak-kanak malang itu baru-baru ini.

Pasangan suami itu bagaimanapun berkata, mereka tidak mengenali ibu bapa Zayn Rayyan yang dikatakan berpindah ke rumah itu pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan namun pernah terserempak dengan kanak-kanak tersebut.

Katanya, Zayn Rayyan suka melihat mural atau lukisan yang dilukis pada dinding tangga. Mural tersebut dilukis oleh penduduk di blok sama kanak-kanak autisme itu.

Antara lukisan yang terdapat pada flat Damansara

Sementara itu, Anzari Ali Ahmad, 68, yang sudah 20 tahun tinggal di kawasan perumahan itu juga terkejut dengan kejadian yang menimpa Zayn Rayyan.

Beliau tidak sangka kanak-kanak yang pada awalnya dikatakan meninggal dunia kemudiannya disahkan menjadi mangsa pembunuhan.

Tambah beliau, sejak tinggal di situ tidak pernah berlaku kejadian ngeri bagaimanapun ada kes culik berlaku di kawasan berhampiran tapi berlaku belasan tahun dahulu.

“Kemungkinan rasa risau, sebab kehilangan kanak-kanak main tepi sungai lemas. Rupa-rupanya berlaku di sebalikya ada pembunuhan.

“Jadi rasanya keluarga yang mempunyai anak seperti saya ada cucu kita rasa risau juga. Tapi kita sabar dan insya-Allah tak ada apa-apa.

“Bila berlaku pembunuhan disebabkan tangan-tangan manusia maka Allah sahaja menentukan hukumnya,” kata beliau yang ditemui ketika menemani cucunya yang berusia tiga tahun bermain di taman permainan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast