KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan pada kecenderungan meningkat minggu depan dengan jangkaan pengeluaran rendah.
Pengarah Urusan Palm Oil Analytics (Fastmarkets) Dr Sathia Varqa berkata, peserta pasaran akan tertumpu kepada data Lembaga Minyak Sawit Malaysia bagi bulan November yang akan dikeluarkan pada Selasa depan untuk mengukur hala tuju pasaran.
“Jangkaan adalah pengurangan pengeluaran untuk memastikan stok tidak berubah. Tumpuan juga akan diberikan kepada data eksport untuk 1 hingga 10 Dis,” katanya.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran dijangka diniagakan dalam sentimen positif berdasarkan jangkaan pengeluaran yang mungkin berkurangan disebabkan musim hujan.
“Kenaikan dalam pasaran minyak kacang soya pada Jumaat dijangka berterusan pada minggu depan dan ini boleh memberikan sokongan kepada harga minyak sawit.
“Pergerakan harga minyak sawit dipengaruhi oleh minyak saingan berikutan ia bersaing untuk mendapatkan bahagian dalam pasaran minyak sayuran global.
“Bagaimanapun, kenaikan pada minggu depan dijangka dihadkan oleh trend eksport yang rendah menjelang akhir tahun. Oleh itu, kami menjangka paras sokongan pada RM3,650 satu tan dan paras halangan pada RM3,800 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu baru berakhir, pasaran MSM tempatan diniagakan bercampur-campur sejajar dengan pasaran komoditi serantau, harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago dan turun naik harga minyak mentah.
Pada asas mingguan, Disember 2023 merosot RM133 kepada RM3,600 satu tan, Januari 2024 berkurangan RM136 kepada RM3,689 satu tan dan Februari 2024 susut RM134 kepada RM3,740 satu tan.
Mac 2024 merosot RM128 kepada RM3,769 satu tan manakala April 2024 dan Mei 2024, masing-masing berkurangan RM125 kepada RM3,770 satu tan dan RM3,753 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 308,072 lot daripada 238,255 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 214,153 kontrak daripada 208,661 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan berkurangan kepada RM3,670 satu tan pada Jumaat daripada RM3,750 satu tan pada minggu sebelumnya. – BERNAMA