Foto: Facebook

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) adalah sebuah negara yang tidak mempunyai moral dan secara jelas melanggar semua prinsip dan nilai kemanusiaan apabila memveto keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap gencatan senjata di Gaza.

Gabungan 38 badan bukan kerajaan (Gabungan NGO Malaysia) menegaskan, negara tersebut perlu bertanggungjawab ke atas pembunuhan kanak-kanak, wanita dan warga emas di wilayah Palestin tersebut.

“Keputusan AS secara terbuka memihak kepada Israel akan membawa kepada serangan besar-besaran dan berterusan oleh Israel di Gaza.

“AS bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan kegagalan resolusi yang membawa kepada kesukaran untuk rundingan damai dan penyelesaian dua negara tidak lama lagi.

“Penggunaan kuasa veto AS memberi Israel akses terus dalam melaksanakan penjajahan dan pembersihan etnik secara terbuka dan mengabaikan desakan masyarakat antarabangsa yang ingin melihat penamatan segera terhadap serangan ke atas Gaza,” katanya.

Kecaman tersebut dibuat selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat lalu.

Gabungan itu menggesa masyarakat global meningkatkan usaha menekan pihak terbabit sehingga gencatan senjata di Palestin berjaya ilaksanakan.

“Memandangkan usaha ini masih belum berjaya, setiap detik berlalu terlalu perlahan untuk orang awam di Gaza dan setiap wilayah di Palestin mendapat perlindungan dan bantuan kemanusiaan.

“Dengan ini, Gabungan NGO Malaysia menyokong penuh pendirian kerajaan yang menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus bersatu menentang tindakan agresif dan tidak bermoral AS.

“Kami berdiri dalam solidariti teguh dengan rakyat Palestin dan mengulangi komitmen teguh kami dalam menyokong setiap inisiatif untuk memperjuangkan hak asasi mereka untuk mendapatkan kemerdekaan kekal,” katanya.

Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Global Peace Mission Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Viva Palestina Malaysia antara NGO yang terdapat dalam gabungan itu.-MalaysiaGazette

Sehingga kini lebih 18,000 rakyat Palestin maut dalam serangan berterusan tentera Zionis dengan hampir 50,000 lagi cedera.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast