KUALA LUMPUR – Tiga tapak binaan di Ipoh, Perak diserbu hari ini dalam Ops Penguatkuasaan Perburuhan Bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bersama agensi dan juga beberapa jabatan luar.

Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, selain Ipoh, operasi turut dilakukan secara serentak di Sitiawan dan Tapah.

Menurut beliau, ketika operasi seramai 52 pekerja diperiksa termasuk 14 orang didapati Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Kesemua pekerja asing ini terdiri dari pelbagai negara sumber seperti Bangladesh, Myanmar dan Indonesia. Selain itu, terdapat tujuh pekerja yang didapati merupakan pemegang kad United Nation High Commission for Refugees (UNHCR),” katanya menerusi kenyataan.

Jelas KSM, antara kesalahan yang dikesan dibawah akta-akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM adalah termasuk tiada perakuan penginapan pekerja.

Ia merupakan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446], kesalahan Akta Kerja Seksyen 25A iaitu membayar gaji secara tunai dan bukan melalui institusi kewangan, Subseksyen 60K (3) Akta Kerja 1955 iaitu kegagalan melapor penggajian pekerja asing dan terdapat juga pekerja yang dikategorikan sebagai terabai iaitu mereka dibawa masuk secara sah berpermit tetapi tidak diberikan sebarang pekerjaan sejak mereka menjejakkan kaki di Malaysia.

Tambah Kamal, dalam masa yang sama, seramai 439 pekerja tapak binaan daripada ketiga-tiga lokasi didapati tiada caruman Pertubuhan Keselamatan Sosia (PERKESO) meskipun telah didaftarkan.

“Ia merupakan kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Manakala di bawah JIM, beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dikesan dan akan disiasat secara terperinci antaranya termasuklah tiada dokumen sah dan tinggal lebih masa,” katanya.

Menurut KSM, tindakan selaras dengan akta yang berkaitan akan diambil terhadap semua kesalahan selaras perundangan berkuatkuasa mengikut bidang kuasa jabatan masing-masing.

Sebagai rekod, operasi berkenaan antara mekanisme yang dikuatkuasakan KSM demi memastikan kebajikan para pekerja adalah terjaga dan sekaligus menyangkal dakwaan pihak antarabangsa yang mengatakan bahawa negara mengamalkan buruh paksa.

Terdahulu, Kamal berkata, operasi yang sama turut melibatkan 55 orang pegawai penguat kuasa.-MalaysiaGazette