Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Pasangan warga emas yang mati dibunuh disahkan akibat ditikam bertubi-tubi pada bahagian kepala, leher dan muka.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia selepas dikatakan ditikam anak lelaki mereka dalam kejadian di Kampung Sungai Penchala di sini 9 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, perkara tersebut disahkan selepas pihakya melihat hasil bedah siasat yang dijalankan semalam.

“Hasil bedah siasat dijalankan oleh Bahagian Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam. Kedua-dua mangsa mempunyai tiga kesan tikaman pada bahagian kepala, leher dan muka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, polis mengesahkan pasangan warga emas yang ditemui mati dibunuh itu mempunyai beberapa kesan tikaman di seluruh badan.

Jelas Allaudeen, terdapat enam eksibit (barangan kes) yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika menjalankan jenayah tersebut.

“Antara eksibit yang ditemui ialah mata pisau, hulu pisau, satu unit helmet, sebuah meja kayu bulat, sebatang kayu, serpihan kayu dan sepasang kasut berwarna hitam dipercayai milik suspek,” ujarnya.

Tambahnya, ujian air kencing turut mengesahkan suspek positif tiga jenis dadah iaitu amfetamina, methamphetamine dan morfin.

Tempoh tahanan reman terhadap suspek adalah selama tujuh hari sehingga 16 Disember ini.

Pada 9 Disember lalu, pasangan suami isteri warga emas ditemui mati selepas dibunuh anak lelakinya di Kampung Sungai Penchala.

Difahamkan lelaki berusia 42 tahun itu telah membunuh ibu bapanya sekitar pukul 7 malam.

Anak ketiga daripada empat adik beradik itu juga dipercayai baru sahaja diikat jamin oleh bapanya atas kesalahan jenayah, minggu ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pasangan warga emas mati ditikam anak