KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meminta penduduk di kawasannya untuk membenarkan beliau menghabiskan penggal sebagai wakil rakyat.
Ahli Parlimen dari Bersatu yang baru-baru ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim faham jika ada penyokong dan rakyat yang marah dengan tindakan tersebut.
Syed Abu Hussin sama sekali tidak berniat untuk mencabar pengundi di Bukit Gantang selepas mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
“Yang pertama, saya tidak berniat untuk mencabar. Apa guna saya cabar pengundi saya. Yang kedua, mereka yang bawa sepanduk ini melahirkan rasa tidak puas hati mungkin dia daripada parti.
“Tapi ramai juga yang masih menyokong saya. Pada saya, tak apalah. Nak protes atau luah perasaan tapi jangan sampai melanggar undang-undang.
“Jangan sampai kumpul ramai-ramai. Buat mogok. Masing-masing ada hak untuk menyatakan tidak puas hati,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir penduduk Bukit Gantang yang membantah dan berdemonstrasi berikutan tindakannya menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Syed Abu Hussinmenerima segala tindakan yang dilakukan oleh penduduk di kawasannya dengan hati yang terbuka dan akan memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat.
Sementara itu, Syed Abu Hussin menyifatkan pihak yang mendesak beliau untuk keluar daripada Bersatu sebagai perbuatan sia-sia.
“Saya minta kepada semua penyokong-penyokong saya dan tidak menyokong khususnya di Parlimen saya sabar dan tengok apa saya buat. Saya ada empat tahun.
“Yang mendesak saya meletakkan jawatan ini, buang masa. Sebab mungkin mereka tak faham apa yang berlaku. Mungkin mereka dimomokkan perkara lain.
“Selama setahun saya tak ada peruntukan saya buat kebajikan. Buat jualan murah, beras murah. Sepanjang masa saya buat boleh tengok dalam media sosial. Jadi takkanlah saya nak meninggalkan kawasan orang yang berjasa kepada saya,” jelasnya. – MalaysiaGazette