Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Secara sinis, Datuk Dr Ibrahim Ali berterima kasih kepada Tan Sri Lim Kit Siang apabila menyatakan bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri di Malaysia.

Presiden Putra itu berkata, kenyataan Kit Siang itu akan menyebabkan lagi kuat orang Melayu menolak dan membenci DAP.

“Ibarat orang mengantuk disorong bantal. Saya adalah orang yang paling gembira bila orang Melayu tolak DAP.

“Orang Melayu adalah bangsa yang cerdik. Orang Melayu tahu bahaya DAP kerana Dasar Malaysian Malaysia dan Deklarasi Setapak.

“Orang Melayu Malaysia telah mengambil pengalaman rakyat Palestin dan Melayu Singapura. Orang Melayu tolak DAP tapi orang Melayu menerima kaum Cina sebagai rakyat Malaysia yang mendukung Perlembagaan Negara dan Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, apapun pandangan Kit Siang terhadap jawatan itu, banyak lagi alasan yang bukan Melayu tidak boleh menjadi perdana menteri.

Ibrahim berkata, dari segi sejarah, Malaysia ialah bumi Melayu yang asalnya Persekutuan Tanah Melayu.

Agama Persekutuan adalah Islam dan Islam adalah orang Melayu mengikut Perlembagaan dan Ketua Negara ialah Yang di-Pertuan Agong dan Ketua Agama Islam.

Lapan negeri mempunyai Raja-Raja Melayu dan adat istiadat adalah mengikut budaya Melayu.

Manakala penduduk Malaysia 60% lebih adalah orang Islam dan Melayu.

“Jadi mustahil bukan Melayu boleh jadi perdana menteri. Selain itu lafaz sumpah dimulakan dengan bacaan Bismillahirrahmanrrahim dan lain-lain peraturan istiadat,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, sebagai kaum minoriti, Kit Siang perlu belajar hidup harmoni dengan kaum majoriti.

Orang Melayu Singapura tidak minta jawatan perdana menteri, walaupun asal usul Singapura adalah negeri Melayu.

Cuma, katanya, ada segumpal Melayu liberal yang bersikap semua boleh.

Mereka ini adalah Melayu yang gila kuasa, pangkat dan harta.

“Tapi majoriti Melayu masih ada jati diri dan bersemangat patriotisme. Melayu tulen adalah Melayu warisan Mat Kilau dan Tok Janggut,” ujarnya.

Kit Siang mencetuskan kontroversi melalui kenyataan dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh veteran DAP itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.

Mantan Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan ‘Impian Malaysia’.

Impian berkenaan, katanya, meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya, bukannya membawa satu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja. – MalaysiaGazette