Sindiket jual sijil cuti sakit palsu ditumpaskan di Kajang.

KUALA LUMPUR – PolisĀ  berjaya menumpaskan satu sindiket menjual sijil cuti sakit palsu di sekitar daerah Kajang dengan penahanan enam warga tempatan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, tangkapan itu dibuat melalui satu serbuan di sekitar Kajang dan juga Bukit Jalil pada 9 Disember lalu.

Menurutnya, tangkapan itu melibatkan empat wanita dan dua lelaki yang berusia antara 26 hingga 51 tahun.

Tambah beliau, polis yang melakukan pemeriksaan lanjut ke atas kesemua tangkapan sebelum berjaya merampas sebuah komputer riba, lapan buah telefon bimbit, lima unit pendrive.

Turut dirampas daripada suspek adalah enam buku sijil cuti sakit, 171 sijil cuti sakit kerajaan, 70 keping sijil cuti sakit swasta, 19 keping resit rasmi klinik, dan lain-lain lagi.

“Kesemua suspek telah direman sehingga 11 Disember lalu dan disambung reman untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zaid berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek telah menjual sijil cuti sakit tersebut dengan harga RM30 ke RM50 sekeping di sekitar kawasan Kajang dan aktif melakukan aktiviti itu sejak setahun yang lalu.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu

Orang ramai terutamanya majikan, dinasihatkan untuk membuat semakan dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan penjualan sijil cuti sakit ini boleh menghubungi talian hotline IPD Kajang di talian 03-89114242 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Tanaseelan Manogaran. – MalaysiaGazette