PETALING JAYA – Veteran DAP Lim Kit Siang selesai memberi keterangan berhubung kenyataannya, ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu ditemani dua peguam Mohd. Khairil Khalid dan Atahari Bahardin ketika memberi keterangan di Balai Polis Sea Park di sini pagi ini.
Kit Siang tiba pada pukul 9.20 pagi dan masuk memberi keterangan pada pukul 9.30 pagi serta keluar daripada balai polis kira-kira pukul 10.40 pagi.
Menurut Mohd. Khairil, hanya satu laporan polis oleh orang awam yang dibuat terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Kit Siang berhubung artikel dalam blognya yang disiarkan pada 30 November lalu.
Mohd. Khairil berkata, tiga pegawai polis ditugaskan untuk bertanya soalan dan membuat siasatan.
“Tan Sri memberikan kerjasama yang baik, jawapan pun berdasarkan kenyataan dalam blog. Polis juga beri kerjasama yang baik.
“Memang terdapat satu laporan. Berdasarkan laporan tersebut siasatan dibuat. Terdapat 27 soalan (soal siasat) sekitar satu jam. Walaupun berumur 82 tahun Tan Sri menjawab semua 27 soalan dengan betul,” kata Mohd. Khairil yang ditemui selepas siasatan selesai.
Tambah beliau, kenyataan yang dibuat oleh Kit Siang berlandaskan lunas Perlembagaan dan tidak melibatkan apa-apa kesalahan.
Turut hadir dua anak Kit Siang, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dan Lim Hui Ying yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Selain itu, M. Kulasegaran yang juga baru diumumkan sebagai Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi juga kelihatan.
Sementara itu Kit Siang berkata, beliau hanya menjelaskan kepada pelajar di luar negara bahawa sesiapa sahaja rakyat negara ini boleh menjadi perdana menteri berdasarkan Perlembagaan.
“Saya juga nyatakan dalam tempoh 100 tahun lagi, saya tidak jangkakan akan ada perdana menteri bukan Melayu tapi saya harap ia tidak akan mengambil masa 230 tahun seperti Barack Obama seorang berketurunan kulit hitam menjadi presiden pertama Amerika Syarikat.
“Saya rasa ini sangat jelas dalam Perlembagaan, walaupun ia adalah kenyataan yang berlandaskan fakta, ia juga kenyataan yang berlandaskan realiti,” katanya kepada wartawan selepas kenyataannya diambil.
Media sebelum ini melaporkan, bekas ketua pembangkang itu dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataannya “kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri”.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, Kit Siang disiasat di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Ini berikutan tulisan Kit Siang dalam blog bertajuk ‘Perlembagaan Malaysia menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal kerana Perlembagaan tidak menghalang seorang bukan Melayu dari menjadi Perdana Menteri’ yang dikongsi pada 30 November.
Tulisan itu berdasarkan ucapannya kepada pelajar Malaysia di Manchester pada 29 November lalu.
Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan, Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 menjanjikan ‘Impian Malaysia’.
Impian berkenaan, katanya, meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya, bukannya membawa satu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana bukan Melayu daripada menjadi perdana menteri dan berharap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun lagi untuk melihat seorang bukan Melayu berpeluang menjadi perdana menteri.
Beliau juga menegaskan perkara tersebut tidak akan berlaku dalam tempoh 100 tahun lagi.- MalaysiaGazette