Keadaan di lokasi kejadian.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dalam mengenal pasti punca kejadian kren tumbang dalam projek pembinaan bangunan parkir bertingkat yang terletak bersebelahan dengan stesen kereta api Rawang.

Menurut RAC, ia adalah pemilik projek tersebut dan JKR Selangor pula selaku agensi
pelaksana projek manakala KTMB pula selaku operator.

Insiden yang berlaku pada 5.53 petang semalam telah menyebabkan perkhidmatan tren Komuter Lembah Klang dan ETS mengalami gangguan perjalanan.

Kejadian tersebut telah menyebabkan kedua-dua landasan bagi laluan Rawang – Tanjong Malim terhalang.

KTMB menganggarkan 20,000 penumpang komuter dan 10,000 penumpang ETS akan terjejas yang melibatkan 32 perkhidmatan ETS dan 46 perkhidmatan Komuter bagi sektor Tanjong Malim – Pelabuhan Klang – Tanjong Malim, sehingga operasi tren kembali pulih.

Kren tersebut yang digunakan oleh kontraktor yang dilantik JKR dalam pembinaan bangunan parkir bertingkat Stesen Keretapi Rawang telah patah dan jatuh ke atas alat talian atas (overhead line) dan landasan kereta api mengakibatkan ia terputus.

Insiden dipercayai berpunca daripada mendapan tanah di kawasan pembinaan dan menjadikan tren tersebut condong ke arah landasan.

Situasi ini menyebabkan bahagian atas kren telah beralih dan sebahagian struktur kren bersama-sama kabel dan komponen kren telah patah.

RAC berkata, susulan daripada kejadian ini, kerja-kerja pembinaan fasiliti tersebut dihentikan buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan kren dijalankan.

Kakitangan RAC juga telah diarahkan untuk memantau kerja-kerja pengalihan kren di
tapak sebaik insiden dilaporkan.

Menurutnya, status penyiapan semasa projek ini adalah 37 peratus, yang mana 19 peratus lebih awal daripada jadual asal.

Projek pembinaan bangunan parkir bertingkat ini yang ditawarkan kepada kontraktor, Suria Gemilang Sdn. Bhd telah memulakan pembinaannya pada 8 November 2022 dan dijangka siap pada 10 November 2025.

Projek yang menelan belanja RM43.605 juta ini apabila siap kelak akan dilengkapi dengan sebuah bangunan parkir empat tingkat yang mengandungi 480 petak kereta dan 128 petak motorsikal.

Bangunan parkir ini juga akan turut dilengkapi dengan kawasan drop by zone untuk kegunaan pengangkutan awam yang lain menurunkan penumpang, kemudahan bagi golongan OKU, jejantas dan lif. – MalaysiaGazette