Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff diambil keterangan oleh polis kira-kira dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

KAJANG – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff diambil keterangan oleh polis lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kakitangan J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang dipercayai berlaku di Bintulu, Sarawak, Oktober lalu.

Terdahulu Mohammad Agus diiringi peguamnya, Zaflee Pakwanteh tiba di IPD Kajang kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Bagaimanapun Mohammad Agus yang menaiki Toyota Estimate berwarna putih kelihatan bergegas keluar dari IPD Kajang kira-kira pukul 1.15 petang.

Beliau juga tidak menghentikan kenderaan yang dinaiki bersama peguamnya itu dan enggan menemui petugas media yang menunggunya sejak pukul 11 pagi tadi.

Sebelum itu, media dimaklumkan polis akan mengambil keterangan daripada bekas pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu di Bukit Aman pukul 10 pagi.

Bagaimanapun MalaysiaGazette dimaklumkan Zaflee yang anak guamnya akan memberi keterangan di IPD Kajang pukul 11 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan Mohammad Agus terhadap Abdul Wahab yang dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Oktober lalu.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D kanun sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

Abdul Wahab tampil membuat laporan di IPD Kajang bersama peguamnya pada 30 November lalu. – MalaysiaGazette