Armizan Ali

PUTRAJAYA – Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan usaha parti Warisan dan UMNO Sabah untuk bergabung bagi menentang GRS tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran Putrajaya.

Ini kerana katanya, pimpinan parti-parti itu seharusnya memahami bagaimana tertubuhnya kerajaan yang ada pada hari ini.

“Tidak ada masalah, sebab bagi saya kita kena ingat, saya fikir mereka mengetahui bahawa kebersamaan kita dalam kerajaan.

“Menandatangan MoU persefahaman yang ditandatangani parti-parti terlibat itu membentuk dan memastikan kestabilan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ada.

“Saya fikir perkara tersebut (kerjasama UMNO-Warisan) perlu dibawa ke peringkat negeri…itu kita bincang kemudian bila tiba masanya.

“Komitmen sekarang kita memastikan kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan, saya fikir semua terlibat beri komitmen dan sekarang kedudukan kita jauh mencukupi kerusi untuk kekal stabil,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Karnival Barangan Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai jangkaan parti Warisan yang mahu bekerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun depan.

Menurut laporan, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dipetik berkata, parti pimpinannya itu akan mengadakan kerjasama dengan UMNO Sabah yang dipimpin oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Shafie berkata Bung Moktar selaku ketua UMNO Sabah telah menyatakan persetujuan ketika hasrat itu disampaikan kepadanya.

Kerjasama itu menyaksikan mereka akan menentang GRS yang diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor.

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, mereka sebelum ini telah mempelawa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), namun komponen dalam GRS berkenaan menolak.

Dalam pada itu, Armizan berkata, langkah untuk Warisan dan UMNO bekerjasama merupakan hak masing-masing.

“Saya fikir itu hak mereka warisan UMNO nak kerjasama…saya tak mahu komen kerana bagi saya fokus kita dan kerajaan sama ada peringkat Persekutuan dan negeri adalah untuk meneruskan kerja untuk rakyat.

“Apa yang dikemukakan oleh mana-mana parti itu hak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette