Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Tindakan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyentuh isu pelantikan perdana menteri dalam kalangan bukan Melayu dianggap sebagai tidak berpolitik secara matang .

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Kit Siang tidak sepatutnya mengungkit isu tersebut dan mensensasikannya.

“Benar, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas tidak sebut perdana menteri mesti orang Melayu. Tetapi kenapa Lim Kit Siang panaskan isu itu?

“Lim Kit Siang sendiri mengaku dia tidak bermimpi untuk jadi Perdana Menteri. Dia juga mengaku tidak yakin 100 tahun lagi orang Cina akan jadi Perdana Menteri.

“Maka biarlah kematangan politik mengambil tempat secara natural. Bukan dipaksa. Tidak perlu diungkit ungkit dan dijadikan isu sensasi,” kata Mohd. Puad.

Semalam, Kit Siang yang merupakan bekas Ketua Pembangkang memberi keterangan kepada polis berhubung tulisan di dalam blognya yang menyentuh isu pelantikan perdana menteri dalam kalangan bukan Melayu pada 30 Nobember lalu.

Tulisan tersebut merupakan ucapan yang beliau sampaikan kepada pelajar Malaysia di Manchester pada 29 November lalu.

Mohd. Puad mengingatkan bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu bahawa kematangan politik Melayu telah membolehkan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan Cina (SJKC) masih wujud sehingga kini.

Malah kerana kematangan politik orang Melayu telah memberikan ruang kepada mana-mana kaum untuk menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

“Beranikah Lim Kit Siang menafikan SJKC dan SJKT tidak wujud dalam Perlembagaan? Sekolah itu wujud kerana kontrak sosial yang tidak bertulis dan pemimpin Melayu terus menghormatinya.

“Lim Kit Siang tidak marah Lee Kuan Yew menutup Nanyang University yang guna bahasa Cina. Universiti itu digabungkan dengan National University of Singapore yang guna Bahasa Inggeris.

“Di Malaysia tolak ansur masih ada. Lim Kit Siang antara yang bantah SJKC melaksanakan PPSMI. Sebab itu SJKC kekal guna Mandarin bagi mata pelajaran sains dan matematik,” kata Mohd. Puad.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu turut tidak faham mengapa Kit Siang yang telah bersara politik dan telah mendapat gelaran Tan Sri masih mahu mengungkit isu tersebut.

“Tidak timbul soal perlembagaan. Tidak timbul isu kebebasan bersuara. Kenapa setelah bersara politik dan dapat Tan Sri masih main isu 3R? Negara perlu 100 tahun lagi untuk matang,” katanya.

Kit Siang disiasat berhubung artikel bertajuk Perlembagaan Malaysia menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan Perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu daripada menjadi seorang Perdana Menteri.- MalaysiaGazette