Muhammad Shafee Abdullah
Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya kes samannya terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menuntut peguam itu supaya membayar tunggakan cukai pendapatan diputuskan melalui penghakiman terus.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Untuk makluman, tunggakan LHDN oleh peguam veteran itu dianggarkan selama lima tahun bermula 2011 sehingga 2016.

Pada penghakiman hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain ketika membacakan keputusannya bagaimanapun tidak menyebut jumlah yang perlu dibayar oleh Muhammad Shafee sebaliknya ia akan diumum pada Isnin ini.

Ini selepas Muhammad Shafee memberitahu mahkamah adanya ‘perkembangan baharu’ berhubung perkara itu manakala peguam LHDN turut mengesahkan perkara tersebut.

Kedua-dua pihak sedang membuat keputusan muktamad berhubung jumlah itu ketika ini, mahkamah menangguhkan keputusan itu hingga minggu depan.

Pada 27 September 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh ditetapkan.

Muhammad Shafee adalah peguam kepada Datuk Seri Najib  Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 13 September 2018, peguam terbabit didakwa atas empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Najib hasil aktiviti pengubahan wang haram serta membuat penyata tidak betul kepada LHDN.

Pada Oktober 2022, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan beliau daripada kesemua pertuduhan tersebut. -MalaysiaGazette