KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang ditahan atas kesalahan dadah meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi pagi tadi selepas mengadu tidak sihat semalam.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata wanita berusia 34 tahun itu direman di lokap Balai Polis Kuah, Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi sejak Selasa lepas untuk siasatan lanjut.
“Semalam pada 8.05 malam wanita itu mengadu tidak sihat dan terus dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan, dan ditahan di wad,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya pada pukul 7.30 pagi tadi wanita itu disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya, dan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar esok.
Beliau berkata kejadian itu akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan, JIPS. – BERNAMA