MELAKA – Seorang juruteknik kilang di sini tampil dengan idea unik kerana berdakwah kepada kanak-kanak melalui paluan kompang sambil berselawat dan berzanji di tepi pantai.
Muhammad Amin Mustafa, 40, berkata, perkhidmatan percuma di Pantai Klebang itu dilakukannya sejak akhir Oktober lalu tanpa mengharapkan apa-apa sumbangan daripada pengunjung.
“Niat saya hanyalah untuk berdakwah dengan cara berselawat menggunakan alat muzik tradisional kompang untuk menarik minat kanak-kanak.
“Apabila melihat usaha itu semakin diterima baik, saya gunakan wang simpanan dan pemberian ibu bapa sebanyak RM3,000 untuk beli 16 lagi alat muzik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Dataran 1Malaysia, Klebang di sini malam tadi.
Tambahnya, berbekalkan kompang, keprak, kerinching dan darbuka seramik, persembahannya setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad disertai tidak kurang 10 kanak-kanak dan remaja.
“Kebanyakan mereka berusia antara tujuh hingga 15 tahun ini adalah anak-anak peniaga bazar malam di sini yang secara sukarela menyertai persembahan saya secara percuma tanpa mengharapkan bayaran.
“Alhamdulillah, ternyata usaha dakwah kecil saya ini selain dapat memartabatkan alat muzik tradisional Melayu berhasil terutamanya pada musim cuti sekolah ini,” katanya.
Muhammad Amin yang mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga tiga tahun menambah, walaupun melakukan persembahan itu secara percuma namun bersedia menerima tempahan daripada mana-mana pihak.
“Di Kampung Kolam Limbongan, saya mempunyai pasukan kanak-kanak sendiri yang sedia menerima tempahan persembahan di mana-mana acara,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk menggunakan khidmat Muhammad Amin boleh menghubunginya di talian 011-231 35532. – MalaysiaGazette