Ahmad ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di sebuah hotel di Ampang hari ini.

KUALA LUMPUR – Kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri tidak mendatangkan sebarang kesan.

Pandangan itu dilontarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sambil menganggap kenyataan yang dikeluarkan itu tidak mendatangkan bekas kepada kerajaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin sesebuah parti biasanya tidak mendatangkan bekas.

“Jika pimpinan utama DAP sekarang…pemimpin utama DAP sekarang menyokong dan mendokong empat perkara penting itu saya tidak nampak bekas pemimpin itu mendatangkan apa-apa bekas.

“…bekas pemimpin selalunya membuat kenyataan tidak mendatangkan bekas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di sebuah hotel di Ampang di sini hari ini.

Ahmad berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Kit Siang berhubng perkara tersebut.

Pada 29 November lalu, Kit Siang mengeluarkan kenyataan mengenai ‘Impian Malaysia’ yang diutarakannya kepada pelajar Malaysia di United Kingdom, dengan menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dilaporkan  berharap Malaysia tidak perlu menunggu lama seperti Amerika Syarikat (AS) untuk mempunyai pemimpin daripada kalangan minoriti.

Beliau merujuk kepada pelantikan bekas Presiden AS, Barack Obama yang menjadi orang kulit hitam pertama dipilih menerajui negara itu, kira-kira 230 tahun selepas AS mencapai kemerdekaan.

Mengulas lanjut,  Ahmad  berkata, Kit Siang kini bukanlah lagi pemimpin utama DAP dan apa yang penting pemimpin parti itu kini mendukung empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, perkara itu beliau perhatikan menerusi petikan ucapan yang dibuat ketika kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“DAP sekarang yang saya kenali seperti setiausaha agung dan setiausaha organisasi. Setiausaha Agung ini sama level (tahap) dengan presiden, setiausaha organisasi sama level dengan setiausaha agung.

“Rakan saya timbalan menteri kewangan II sebelum ini dan sekarang Menteri Sumber Manusia (Steven Sim Chee Keong) dan Setiausaha Agungnya tentulah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Mereka yang saya kenali dalam ucapan ketika PRN negeri dan PRK mereka menjunjung empat perkara itu.

“Apakah empat perkara itu? Islam agama Persekutuan yang kedua hak istimewa Bumiputera Melayu, yang ketiga kedudukan Raja-Raja melayu dan keempat kedudukan bangsa Melayu,” ujarnya.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan pertukaran beberapa portfolio menteri membabitkan UMNO dalam rombakan Kabinet memberi gambaran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kuasa untuk membuat percaturan, Ahmad menegaskan, Khairy kini bukan lagi ahli UMNO.

Malah, katanya, Khairy juga merupakan ahli yang sudah dipecat oleh parti dan tidak wajar membuat kenyataan sedemikian. – MalaysiaGazette