Gambar hiasan

ALOR SETAR – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan di tengah laut oleh pengunjung di Pantai Tanjung Rhu, Langkawai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata mangsa dikenali sebagai Mohammad Khairie Shaari, 32, merupakan seorang pekerja di sebuah kedai emas di pulau berkenaan.

“Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 6.16 petang yang memaklumkan ternampak kelibat orang sedang terkapai-kapai meminta tolong di tengah laut berhampiran hujung Pantai Tanjung Rhu, sebelum dipercayai tenggelam.

“Hasil pemeriksaan awal di sekitar lokasi kejadian mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Satria yang tidak bertuan dan tidak berkunci serta terdapat barangan peribadi, kunci kereta dan kad pengenalan  dipercayai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan yang disertai 40 pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, operasi tersebut ditangguhkan pada 10 malam tadi dan disambung semula pagi ini.

“Polis telah menghubungi keluarga mangsa dan mengesahkan bahawa mangsa yang menggunakan kereta milik kakaknya itu baru sahaja mula bekerja di Langkawi,” katanya. – BERNAMA