UPTM menempa sejarah meraikan graduan sulungnya yang melibatkan 2,315 graduan.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini dalam perancangan menubuhkan pusat pembangunan kecerdasan buatan (AI) dengan menggabungkan kepakaran semua institusi pendidikan tinggi di bawah kendaliannya.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) telah dipilih untuk menerajui pembangunan pusat berkenaan selepas arahan diberikan beliau sebulan lalu.

Jelasnya, kewujudan pusat pembangunan itu selari dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat institusi pendidikan tempatan mempunyai pusat pembangunan khusus dalam bidang AI.

“Perdana Menteri ada menyebut beberapa kali perkara ini malah dalam lawatannya ke luar negara, ada satu universiti khas mengenai AI ini di Dubai.

“Jadi, beliau mahu institusi pengajian tinggi dalam negara yang boleh memfokuskan kepada AI ini.

“Saya menyatakan di MARA kita sudah ada institusi yang boleh digemblengkan dalam bidang AI dan saya arahkan UNIKL bekerjasama bukan sahaja dengan UPTM tetapi institusi lain MARA yang menawarkan bidang yang terkait dengan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Pertama Universiti Poly-Tech Malaysia UPTM di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Foto Ihsan UPTM.

UPTM menempa sejarah meraikan graduan sulungnya yang menyaksikan 2,315 graduan diraikan membabitkan empat graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 38 graduan Ijazah Sarjana, 1,038 graduan Ijazah Sarjana Muda, 62 penerima Diploma Pascasiswazah Pendidikan, 36 graduan pengajian profesional dan 957 penerima diploma.

“Dalam sebulan dua ini, pusat pembangunan AI ini akan direalisasikan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, tahap kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi MARA berada pada tahap yang baik.

Pada masa sama, MARA akan terus komited menyediakan persekitaran yang membolehkan graduan institusinya terbabit dalam bidang keusahawanan, katanya. – MalaysiaGazette