Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Portal Rasmi Halal Malaysia kini mula beroperasi semula setelah tindakan pembaikan selesai dilakukan susulan pencerobohan yang dikesan pada 9 Disember lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIN), Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff berkata, ia telah mula beroperasi sejak Rabu lalu.

Sebelum itu beliau telah mengarahkan pasukan teknikal jabatan itu menjalankan siasatan dan menyediakan laporan menyeluruh berhubung perkara tersebut.

“Ini termasuk mencadangkan langkah-langkah proaktif ke arah meningkatkan ciri keselamatan portal supaya isu sama tidak berulang. Insiden pencerobohan yang berlaku ini tidak menyebabkan sebarang ketirisan data.

“Saya telah mengarahkan pasukan teknikal ICT JAKIM mengambil langkah proaktif untuk mengemas kini lohong gelung yang mungkin boleh menjadi ruang untuk penggodam menceroboh kembali ke dalam Portal Rasmi Halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, proses untuk menyiapkan infrastruktur baharu di mana server, sistem operasi dan aplikasi akan dinaik taraf ke versi yang terkini dan infrastruktur baru ini akan disiapkan sebelum Januari 2024.

Kenyataan itu turut memaklumkan jabatan berkenaan menyedari kerisauan pengguna mengenai ciri-ciri keselamatan sedia ada di Portal Halal Malaysia. – MalaysiaGazette