Poster yang tertera tulis 'Justice for Muhammad Zaharif Affendi' yang ditampal di zink penghadang kawasan pembinaan mahkamah lama Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2023.

IPOH – Poster pelajar tingkatan lima yang maut dalam kemalangan di Taman Jati semalam ditampal sepanjang jalan Panglima Bukit Gantang Wahab bersebelahan Mahkamah Sesyen/ Majistret Ipoh di sini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, poster yang tertera tulis ‘Justice for Muhammad Zaharif Affendi’ itu ditampal di zink penghadang kawasan pembinaan mahkamah lama Ipoh.

Turut tertera di poster tersebut adalah gambar mangsa sewaktu kejadian dan surah Al-Fatihah.

Terdahulu, sekumpulan wartawan dan jurugambar berkumpul di hadapan mahkamah seawal jam 8 pagi bagi menunggu perintah reman dikeluarkan terhadap suspek.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari semalam, mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut di lokasi kejadian.

Poster 'Justice for Muhammad Zaharif Affendi' ditampal bersebelahan mahkamah Ipoh
Poster yang tertera tulis ‘Justice for Muhammad Zaharif Affendi’ yang ditampal di zink penghadang kawasan pembinaan mahkamah lama Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2023.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati kemalangan ini membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan sebuah motosikal jenis Yamaha.

Menurutnya, penunggang motosikal seorang lelaki berusia 17 tahun didapati meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta seorang lelaki berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yahaya berkata, polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette