GENEVA – Lebih 60 pendatang dipercayai lemas dalam kejadian kapal karam di luar pantai Libya.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) berkata, kapal itu meninggalkan bandar Zuwara dengan kira-kira 86 orang di dalamnya.
Ia berkata, ombak tinggi membanjiri bot itu dan 61 pendatang, termasuk kanak-kanak hilang dan dianggap sudah mati.
Libya adalah antara tempat berlepas utama bagi pendatang yang cuba menyeberangi Mediterranean dan memasuki Eropah.
IOM menganggarkan lebih 2,200 orang telah lemas ketika cuba menyeberangi Mediterranean tahun ini sahaja, sekali gus menjadikannya salah satu laluan penghijrahan paling berbahaya di dunia.
Kebanyakan mangsa dari Nigeria, Gambia, dan negara Afrika yang lain.
Hanya 25 mangsa yang terselamat dan telah dipindahkan ke pusat tahanan Libya dan diberi sokongan perubatan.
Menulis di X, jurucakap IOM menyebut angka kematian untuk tahun ini sebagai “angka dramatik’.
Pada bulan Jun lalu, sekurang-kurangnya 78 orang maut dan 100 lagi diselamatkan selepas bot nelayan karam di selatan Greece.
Lintasan Mediterranean sering melihat ramai pendatang bersesak-sesak dalam bot terlalu kecil.
Mereka yang membuat perjalanan itu lazimnya berharap untuk mendarat di Itali sebelum pergi ke negara lain di Eropah.
Mereka ini mahu melarikan diri dari konflik atau penganiayaan, selain mencari pekerjaan.
Lebih 153,000 pendatang telah tiba di Itali tahun ini dari Tunisia dan Libya, menurut agensi pelarian itu. – Agensi