IPOH – Keluarga kepada pelajar tingkatan lima Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut dalam kemalangan di Taman Jati, Meru, pada Jumaat lalu melantik peguam bagi mengendalikan kes tersebut.
Kakak mangsa, Nur Zawanie Muhd Zamrie, 28, berkata, langkah itu merupakan usaha pihak keluarga unruk memastikan keadilan dalam kes berkenaan dapat terlaksana sebaiknya.
Menurut iururawat itu, pihak keluarganya sedang mengumpul segala bukti dan video kejadian itu untuk diserahkan kepada peguam yang dilantik.
“Saya merayu ihsan semua terutama mereka yang ada video kejadian untuk berikan kepada keluarga supaya dapat dijadikan bukti.
“Sebagai wakil keluarga, saya hanya minta semua rakyat Malaysia mendoakan keadilan buat adik saya, letakkanlah sedikit rasa simpati kepada keluarga kami ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di kediamannya di Taman Chepor Sentosa di sini pada Ahad.
Nur Zawanie berkata, lantikan peguam dibuat menerusi Syarikat Guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Sementara itu, Peguam, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pihaknya akan melihat kepada dua perkara iaitu perlakuan jenayah dan tuntutan sivil terhadap suspek.
Beliau berkata, pihaknya ingin memastikan siasatan dibuat secara telus dan diarahkan keluarga untuk melihat tindakan sivil yang boleh diambil terhadap suspek termasuk kerajaan atau polis dan pihak yang berkaitan.
“Setakat ini, apa yang kami buat adalah mengumpul segala bahan bukti yang ada dan melihat kembali semua video-video yang dihadapkan kepada kami dan mengumpul setiap saksi yang ada di tempat berkenaan.
“Insya-Allah dalam dua ke tiga hari ini kami dapat kumpulkan semua (bukti) dan kami akan hadapkan semua pembuktian ini kepada polis.
“Ia bertujuan untuk membantu dalam siasatan dan tuntutan terhadap kejadian tersebut,” katanya dalam sidang akhbar khas di kediamannya di Taman Chepor Sentosa di sini pada Ahad.
Beliau berkata, dalam tempoh terdekat ini, pihaknya akan memeriksa laporan perkembangan siasatan dijalankan polis untuk dijadikan indikasi hala tuju siasatan seterusnya. – MalaysiaGazette