Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai berjaya menyelamatkan wanita yang dipercayai kurang siuman selepas berada di atas tangki air selama dua jam.

BAGAN SERAI – Seorang dipercayai wanita kurang siuman berjaya dipujuk dan diselamatkan ketika disyaki cuba membunuh diri di bahagian atas tangki air berhampiran Pasar Awam Bagan Serai di sini, petang tadi.

Difahamkan, terdahulu wanita terbabit bertindak menanggalkan pakaiannya dan mencampakkannya ke bawah bersama sebuah topi keledar ketika berada di atas tangki air setinggi bangunan enam tingkat itu.

Wanita yang berusia lingkungan 40-an itu adalah penduduk tempatan dan berada di atas tangki air tersebut selama dua jam sebelum berjaya dibawa turun oleh pihak bomba.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 2.37 petang.

“Sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai digerakkan dan tiba tiga minit kemudian di lokasi.

“Setibanya di lokasi didapati terdapat seorang perempuan yang dipercayai kurang siuman berada di bahagian atas tangki air dengan anggaran ketinggian bangunan enam tingkat.

“Ketua operasi bertindak membantu memujuk dan membawa turun mangsa seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Shafarie Sukri tamat sepenuhnya jam 4 petang. – MG Perak