JOHOR BAHRU – Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi dinobatkan Anugerah Tokoh Perundangan Tersohor MPUU oleh Majlis Penasihat Undang-Undang Universiti Awam (MPUU).
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, anugerah diberikan itu sebagai menghargai tokoh perundangan tersohor negara.
Menurut beliau, Shad Saleem kini menyandang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya dalam bidang Undang-Undang Perlembagaan.
“Beliau telah banyak menyumbang ilmu dan khidmat bakti di dalam bidang perundangan di Malaysia khususnya melibatkan universiti awam di negara ini sepanjang lebih 40 tahun dalam bidang ini.
“Anugerah sulung berprestij ini adalah bertepatan dengan sumbangan beliau yang sangat luas dalam bidang Perlembagaan, Hak Kemanusiaan, Hak dan Keistimewaan Raja-Raja Melayu dan governans pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Majlis Sanjungan Budi Citrawarna MPUU 2023 di Hotel Thistle, di sini hari ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi MPUU, Dr. Khairul Anuar Che Azmi.
Shad Saleem juga memberi sumbangan yang signifikan dalam penggubalan akta di peringkat pengajian tinggi seperti Akta Institut Teknologi Mara (Pindaan) 1993 bagi menaiktaraf Institut Teknologi Mara menjadi sebuah universiti awam dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 2008 dan 2011.
Sementara itu, Shad Saleem pula memberitahu, penasihat undang-undang adalah watak utama dalam memainkan peranan sebagai pengimbang dalam memastikan setiap keputusan dibuat pihak universiti beretika dan tidak mematuhi undang-undang negara.
“Bagi saya perkara ini amat penting dalam persekitaran universiti apabila kita turut mengejar kecemerlangan pendidikan, kebebasan akademik serta menjaga prinsip institusi.
“Kini, lebih banyak cabaran termasuklah pandemik, perubahan iklim, krisis politik dan kemajuan teknologi buatan dalam masa peningkatan kos ekonomi,” katanya.
Oleh itu jelasnya, penasihat undang-undang universiti awam tempatan untuk terus berdaya saing, kental dan bersikap inovatif dalam pemikiran mereka.- MalaysiaGazette