Tertuduh, Masanizah Roslan, 41, diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan selepas mengaku bersalah mengabaikan tiga anaknya, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Melaka hari ini. .

MELAKA – Seorang wanita diperintah melakukan khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan pindaan mengabaikan tiga anaknya, dua tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu selama 240 jam dalam tempoh enam bulan selepas tertuduh, Masanizah Roslan, 41, membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan itu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu am sekolah didakwa dengan cuai telah meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan.

Tindakan itu mungkin menyebabkan ketiga-tiga anaknya mengalami kecederaan fizikal dan emosi yang dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 16 Jun sehingga 18 Jun 2021 dan 23 September sehingga 25 Setember 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam tertuduh, Omar Zulkarnain merayu hukuman ringan dan membenarkan perintah bon berkelakuan baik dengan alasan ibu empat anak itu telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom bagaimanapun membantah kerana dikhuatiri tidak mencapai sifat hukuman untuk menghalang masyarakat melakukan kesalahan sama.

Darmafikri kemudian melepaskan tertuduh dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan sebanyak RM7,000 di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Tertuduh turut diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan di bawah Seksyen 31(3A) Akta Kanak-kanak 2001. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast