KUALA LUMPUR – Sekretariat Ops Ihsan memaklumkan bantuan kemanusian ke Gaza selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa el-Arish, Mesir 7.50 pagi waktu tempatan.
Penghantaran barangan bantuan kali ketiga seberat 60 tan yang mengambil masa 11 jam itu tiba kira-kira sejam lebih awal.
“Ketibaan pesawat sewaan khas A330-200 MASKargo itu disambut oleh pegawai Pengendalian Darat Lapangan Terbang Antarabangsa el-Arish bersama dengan pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir. Proses membawa keluar barangan dari perut pesawat mengambil masa selama kira-kira tiga jam.
“Barangan yang diterima oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir ini kemudiannya akan dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah yang kemudiannya akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang bertanggungjawab menguruskan proses agihan kepada hospital-hospital dan juga masyarakat Gaza yang memerlukan,” kata sekretariat berkenaan kepada MalaysiaGazette.
Misi bantuan tersebut membawa 10 orang krew termasuk dua orang petugas media berlepas jam 2 pagi tadi di I-Secure, MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Upacara perlepasan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri-menteri Kabinet, serta pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari.
Muatan barangan sebanyak 60 tan itu terdiri daripada 35.57 tan barangan perubatan, 6.62 tan makanan sedia dimakan, 4.35 tan barangan keperluan bayi dan 13.46 tan persiapan musim sejuk termasuk tilam, selimut dan kit wanita.
Barangan-barangan tersebut merupakan sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuk barangan perubatan sebanyak 20.3 tan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. – MalaysiaGazette